Kebakaran Jambatan Pulau Pinang: TNB perlu tiga bulan untuk baiki kerosakan - Zairil

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 23, 2021 08:32 MYT
Zairil berkata, tempoh pembaikan itu bagaimanapun bergantung kepada tahap kerosakan serta rundingan pihak TNB bersama PLUS. - Foto Zairil Khir Johari
GEORGE TOWN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan masa tiga bulan untuk membaiki kerosakan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2 yang terbakar petang Isnin.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihak TNB memaklumkan perkara itu semasa menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung kejadian kebakaran tersebut.
"Kerajaan Negeri mengambil maklum kebakaran yang berlaku dan menunggu siasatan pihak TNB bagi mengetahui punca kebakaran dan setakat ini.
"TNB memaklumkan mereka memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk kerja pembaikan kabel dibawah jambatan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zairil berkata, tempoh pembaikan itu bagaimanapun bergantung kepada tahap kerosakan serta rundingan pihak TNB bersama PLUS kerana penutupan sebahagian jalan diperlukan semasa kerja pembaikan dijalankan kelak.
Katanya lagi, kerajaan Negeri memberi sepenuh kepercayaan kepada usaha TNB untuk memastikan kestabilan bekalan elektrik diberikan kepada rakyat Pulau Pinang.
Sementara itu, Zairil berkata, kebakaran jam 4 petang Isnin itu telah menjejaskan tiga litar di bawah jambatan yang mengakibatkan gangguan bekalan selama 35 saat di beberapa kawasan.
Bagaimanapun kerosakan kabel dan litar terbabit tidak menjejaskan keseluruhan bekalan elektrik di negeri itu berikutan masih terdapat bekalan elektrik yang lain di bahagian Pulau yang mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk.
BACA: Kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang terbakar lagi
BACA: PLUS jamin Jambatan Pulau Pinang selamat digunakan
Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan sebahagian kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar menyebabkan asap tebal sekali gus mengakibatkan kesesakan jalan raya di atas jambatan berkenaan.
Kebakaran | Kabel elektrik punca kebakaran Jambatan Pulau Pinang
#TNB #Jambatan Pulau Pinang #kebakaran jambatan Pulau Pinang #Tenaga Nasional Berhad #Zairil Khir Johari #PLUS