Kebakaran hutan simpan Pekan tak membimbangkan
Astro Awani
September 30, 2018 19:52 MYT
September 30, 2018 19:52 MYT
Kebakaran Hutan Simpan Pekan pada Sabtu tidak membimbangkan dan dalam pemantauan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang serta Jabatan Alam Sekitar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Penolong Penguasa Bomba Wan Shamsul Effendi Wan Mahmud berkata, kebakaran itu terjadi di kawasan bekas hutan yang sering berlaku kebakaran selain jauh daripada kawasan hutan simpan sebenar.
Jelasnya, kebakaran itu tidak membimbangkan selain jerebu yang tidak kritikal.
Ujarnya, kawasan terbabit adalah di dalam kompartmen 197 hutan simpan Pekan tambahan seluas anggaran 220 hektar dan lokasi kebakaran adalah seluas 80 hektar yang terbakar perlahan-lahan.
Katanya, alternatif mengawal kebakaran lain adalah dengan menaikkan paras air dari terusan sedia ada ekoran keadaan muka bumi yang menyulitkan dan jarak yang jauh.
"Hari ini, kemarakan api dilihat reda sedikit… kita jangkakan terdapat hujan malam tadi dan ia membantu menambah kelembapan tanah gambut tersebut.
"Dalam usaha lain, kita telah membuat pantauan di empangan dengan kerjasama pihak ladang. Tujuan kita adalah untuk menaikkan ataupun meningkatkan air yang berada di terusan ini agar ia melimpah ke tanah gambut dan mengawal kebakaran dari terus merebak," kata Wan Shamsul.
Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan pihak berkuasa juga mendapati ia mustahil untuk melakukan pemadaman manual jika melalui jalan darat.
Ini kerana keadaan muka bumi tanah gambut yang berpaya dan lembut serta tiada laluan khusus.
Tambah Wan Shamsul, pihaknya juga bercadang untuk membaiki terusan air sedia ada sebagai tindakan susulan bagi mengelak kemungkinan berlaku lagi kebakaran di kawasan tanah gambut tersebut.