Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan berjaya dipadamkan

Bernama
Mac 10, 2020 00:16 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat giat menjalankan operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. - BERNAMA
Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang berlaku hampir dua minggu lepas berjaya dipadamkan sepenuhnya pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata setakat 6.30 petang tadi, tiada kejadian kebakaran berulang dilihat berlaku di kawasan hutan simpan gambut berkeluasan 52 hektar itu.
"Pemadaman kebakaran hutan simpan itu berjaya dilaksanakan sepenuhnya terhadap kawasan yang terjejas. Namun, pemantauan akan dilakukan lagi esok sebagai penilaian terakhir jika asap masih ada," katanya ketika dihubungi Bernama.
Hafisham berkata dalam operasi hari ini, pihaknya menggunakan strategi pemadaman secara direct attack dan jet shooter bagi menghapuskan saki baki asap serta kebakaran kecil di sekitar kawasan terjejas itu.
Beliau berkata seramai 78 anggota dan pegawai JBPM Selangor terlibat dalam operasi pemadaman hari ini dengan dibantu 52 pegawai agensi lain antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat.
-- BERNAMA
#dipadamkan #Hutan Simpan Kuala Langat Selatan #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran hutan
;