Kebakaran hutan Batu Caves berjaya dikawal sepenuhnya
Tan Su Lin
Februari 26, 2016 15:53 MYT
Februari 26, 2016 15:53 MYT
Angin kencang dan kawasan berbukit menyukarkan usaha memadam api di bukit batu kapur, Kampung Sri Gombak, di sini.
Walau bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, kawasan hutan yang terbakar itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 3 petang ini.
Kawasan hutan itu kira-kira satu kilometer dari kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 10.42 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian," katanya di sini, hari ini.
Sejumlah 20 anggota dan pegawai serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Rawang dan Gombak Selatan terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.
Setakat petang ini, pihak bomba masih melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.
"Kami akan membuat tinjauan udara untuk melihat sejauh mana kesan kebakaran di bukit batu kapur. Penduduk dinasihatkan jangan panik kerana keadaan masih terkawal.
"Sekiranya perlu kami akan bagi arahan tertentu kepada penduduk termasuk sama ada perlu berpindah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Berikutan faktor bercerun dan berbukit, pihak bomba katanya tidak dapat mendaki ke kawasan berkenaan.
"Bukit ini agak tinggi sebenarnya dalam 60 meter dan ianya batu kapur. Jadi kami akan lihat kaedah terbaik untuk memadam api selepas melakukan tinjauan udara," katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.