Kebakaran hotel Songkhla: Lapan rakyat Malaysia antara 16 terhidu asap tebal

Bernama
April 12, 2019 14:33 MYT
Pelancong asing turut sama menyertai warga Thai dalam menyambut festival Songkran, Tahun Baharu tradisi Thailand, atau pesta air, hujung minggu ini. --fotoBERNAMA/Hiasan
Seramai 16 pelancong termasuk lapan rakyat Malaysia mengalami sesak nafas kerana terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah hotel enam tingkat di Sadao, Songkhla, selatan Thailand, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi (waktu tempatan) itu, kesemua mangsa yang bercuti di wilayah itu sempena sambutan Songkran berjaya menyelamatkan diri dengan keluar ke balkoni bilik dan tingkap bangunan sebelum diselamatkan oleh orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Sadao, Lt Kol Winai Sakeeyasatien, ketika dihubungi Bernama, berkata, lapan rakyat Malaysia termasuk seorang wanita, kesemua berusia antara 24 dan 58 tahun, dihantar ke tiga buah hospital untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, katanya, lima daripada mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar manakala tiga lagi masih meneruskan rawatan.
Beliau berkata, ketika kejadian, seramai 30 pelanggan menghuni hotel 200 bilik itu.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#asap tebal #hotel #kebakaran #Lt Kol Winai Sakeeyasatien #mangsa #pelancong #rakyat Malaysia #Sadao #sesak nafas #Songkhla #Songkran #Thailand