Kebakaran gudang: SESB dipercayai rugi RM40 juta

Bernama
April 5, 2024 22:59 MYT
Madius berkata disebabkan kejadian itu SESB terpaksa menempah semula kabel yang musnah dan akan menilai situasi tersebut selepas operasi pemadamanan selesai. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipercayai kerugian kira-kira RM40 juta susulan kejadian kebakaran di gudang penyimpanan kabelnya di Jalan Menggatal dekat sini semalam.
Pengerusinya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata kebakaran yang bermula tengah hari memusnahkan sebilangan besar gulungan kabel yang disimpan di gudang SESB itu yang kebanyakannya digunakan untuk membuat sambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.
Beliau berkata disebabkan kejadian itu SESB terpaksa menempah semula kabel yang musnah dan akan menilai situasi tersebut selepas operasi pemadamanan selesai.
"Ini kejadian malang memandangkan ia memberikan impak kepada usaha kita mahu memberikan prasarana elektrik terbaik untuk penduduk di Sabah. Bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat kami memberi terbaik untuk rakyat negeri," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Mengenai operasi pemadaman yang masuk hari kedua hari ini, beliau berkata sumber air merupakan cabaran terbesar operasi itu berikutan kekurangan air di pili bomba dan parit berhampiran, malah bomba terpaksa mendapatkan bekalan air di kawasan sekitar 1 kilometer dari tempat kejadian.
"Operasi pemadaman ini memerlukan tekanan air yang tinggi jadi kita perlukan sumber air yang besar," katanya.
Semalam dilaporkan kebakaran memusnahkan 1.21 hektar kawasan gudang dan sebuah rumah kosong, manakala stor penyimpanan transformer, minyak Hyraxoil, mesin peti pembekal dan sebuah bangunan terselamat.
-- BERNAMA
#SESB #bekalan elektrik #sumber air #operasi pemadaman
;