Seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) menemui ajal selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Batu Enam Setengah, Jalan Gombak, Selangor 8.30 pagi tadi.

Leny Marlina Shahril, 39, ditemui rentung selepas api marak dan merebak dengan cepat sekali gus memusnahkan rumah separa papan itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad, mangsa dipercayai bersendirian ketika api sedang marak menyambar setiap ruang rumah tersebut.

"Mangsa sebenarnya tinggal bersama ibunya tetapi semasa kejadian, ibunya pergi ke hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan," jelas Ali.

Empat jentera bomba dari Selayang dan Gombak bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Ibu mangsa yang mendapat maklumat kemudiannya, tiba di rumah pukul 12 tengahari.

Punca kebakaran masih lagi disiasat.