Kebakaran Flat Sri Sabah: Saksi dengar bunyi kaca berderai jatuh atas kereta
Faida Rahim
Februari 12, 2024 10:45 MYT
Februari 12, 2024 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang saksi kejadian kebakaran tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, Norshahidan Mohamed memberitahu, dia mendengar bunyi kaca berderai jatuh yang jatuh di atas sebuah kereta.
Dalam masa sama, Norshahidan yang tinggal di tingkat tiga flat berkenaan menjenguk ke luar kediamannya dan ternampak kepulan asap tebal sebelum segera menjerit memanggil jirannya untuk sama-sama ke tingkat paling atas.
“Saya sedang berehat di rumah… tiba-tiba dengar bunyi kaca berderai jatuh atas kereta di tingkat bawah sekali. Saya terkejut terus saya turun dan dongak ke atas (nampak) penuh asap tebal.
“Saya terus ajak jiran naik untuk bantu penduduk padamkan api,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Norshahidan, sebaik tiba di tingkat 17, dia cuba menarik hos pemadam api kebakaran tetapi tidak berfungsi baik.
“Air tidak keluar jadi saya turun ke bawah semula untuk keselamatan,” katanya.
Dalam kejadian malam tadi, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nordin Pauzi berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kelengkapan pam air yang dimiliki untuk diletakkan di tingkat 16 sebelum dapat memadamkan kebakaran itu.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 9.19 malam sebelum empat balai bomba terdekat di kawasan Cheras telah digerakkan ke lokasi kejadian.