Kebakaran Flat Sri Sabah: Kegagalan sistem pemadaman sulitkan operasi - Bomba

Madiha Abdullah
Februari 11, 2024 05:00 MYT
Terdapat kegagalan dalam sistem pemadaman di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur, yang menyebabkan proses pemadaman api berdepan kesukaran.
KUALA LUMPUR: Terdapat kegagalan dalam sistem pemadaman di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, yang menyebabkan proses pemadaman api berdepan kesukaran.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, kegagalan fungsi hos menyebabkan pihak bomba terpaksa meletakkan pam air di tingkat 16 bagi memudahkan proses pemadaman api.
“Rumah ini ada sistem pemadaman kebakaran tetapi tidak berfungsi sepenuhnya malam ini. Jadi pihak bomba terpaksa menggunakan kelengkapan sedia ada untuk membawa air ke ke tingkat paling atas.
"Jadi kita bawa ‘relay pumping’ dan tempatkannya di tingkat 16. Apabila pam dalam keadaan baik dan tekanan air di sekitar kawasan ini juga baik, proses pemadaman berjalan lancar,” katanya kepada ketika ditemui di lokasi kejadian.
[TERKINI] Sidang Media perkembangan kebakaran di Flat Sri Sabah
Terdahulu, dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, lima buah unit kediaman yang terletak di tingkat paling atas blok flat berkenaan musnah dijilat api.
Empat jentera dari empat balai bomba berdekatan digerakkan bagi membantu memadamkan kebakaran, dengan kekuatan 55 pegawai bomba serta 39 anggota agensi lain.
Nordin juga memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua mangsa akan ditempatkan di pusat penempatan sementara kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin memaklumkan, pihaknya telah mengerahkan sejumlah anggota bagi membantu mengawal keselamatan di lokasi kejadian.
"Polis Cheras mengerahkan 50 anggota untuk menjaga kawasan kejadian dan kita juga akan mengenal pasti kawasan penempatan sementara di mana mangsa ditempatkan, yang mana kita akan adakan kawalan keselamatan di situ juga," katanya.
Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
#kebakaran #flat sri sabah #JBPM #bomba
;