Kebakaran feri tiada unsur sabotaj

Salim Aziz
Februari 26, 2019 21:40 MYT
Usaha memadamkan api dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dengan dibantu Jabatan Laut Malaysia. - Gambar fail
Tiada unsur khianat atau sabotaj dalam insiden kebakaran feri penumpang milik Dragon Star 1 yang terbakar di Langkawi, petang Isnin.
Penolong Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara Langkawi, Ghadzali Ahmad memaklumkan siasatan masih dilakukan dan laporan penuh dijangka siap dalam tempoh seminggu.
Menurut Ghadzali, feri berkenaan berjaya ditunda ke Jeti Tanjung Lembong di Bukit Malut, Langkawi.
Keadaan feri difahamkan musnah terbakar.
BACA: Feri Langkawi terbakar, 52 penumpang dan 6 kru berjaya diselamatkan
"Perlu ada siasatan lanjut, tapi saya rasa macam bukan unsure khianat. Jadi siasatan lanjut baru kita boleh tau tapi yang kita syak (ialah) terbakar dari sebelah enjin kiri," katanya.
Jelas Ghadzali, tidak timbul isu kekurangan jaket keselamatan, kerana jumlah jaket yang ada di atas bot cukup untuk menampung seramai 200 penumpang.
"Saya dimaklumkan cukup, sebab life jacket penumpang untuk feri tu adalah untuk kira-kira 200 orang, tapi jumlah penumpang semalam seramai 52 orang, maknanya cukup la," katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang semalam, sebuah feri penumpang milik Dragon Star Shipping Sdn Bhd yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Perlis, terbakar selepas lima minit berlayar dari jeti penumpang Kuah, Langkawi.
Usaha memadamkan api dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dengan dibantu Jabatan Laut Malaysia.
Mangsa yang terbabit adalah 22 penumpang lelaki dan 24 wanita, tiga kanak kanak lelaki dan tiga kanak kanak perempuan.
Dalam insiden itu, dua penumpang wanita dan seorang anak kapal dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk menerima rawatan akibat sesak nafas.
#dragon star #feri #Hospital Langkawi #kebakaran #Kuah #Kuala Perlis #Langkawi #terbakar
;