Kebakaran di Taman Sri Andalas bukan angkara letupan bom - Bomba

Harits Asyraf Hasnan
Julai 4, 2016 18:59 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran yang melibatkan rumah kedai tiga tingkat di Taman Seri Andalas, hari ini. Seramai 18 orang mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - fotoBERNAMA
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menafikan khabar angin di media sosial kononnya kebakaran yang melibatkan dua buah stor barangan di Taman Sri Andalas hari ini berpunca daripada letupan bom.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata kebakaran tersebut berpunca akibat bahan polistirena yang terkena punca api berkemungkinan puntung rokok.
"Punca kebakaran adalah dari kebakaran bahan polistirena yang berada di luar kedai yang terkena punca api berkemungkinan api rokok atau sebagainya. Punca sebenar akan diketahui selepas siasatan selesai.
"Tidak ada kaitan seperti yang viral di media sosial," katanya menerusi khidmat pesanan WhatsApp hari ini.
Dalam kejadian itu, 18 penghuni termasuk seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas ekoran kejadian kebakaran dua buah stor barangan plastik di Taman Sri Andalas hari ini.
Ketika kejadian yang berlaku jam 11 pagi itu, lima buah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan premis berkenaan turut musnah dijilat api.
Pemangku Ketua Zon Bomba Klang, Penguasa Bomba Amer Haizal Sahak berkata, 30 orang anggota terdiri daripada pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba Sungai Pinang telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengawal kebakaran tersebut.
“Setibanya anggota di lokasi kejadian, pemeriksaan mendapati api marak di bahagian depan stor itu dan mula merebak ke tingkat atas.
“Memandangkan premis masih terbakar dan asap tebal, anggota terpaksa menggunakan tangga untuk membawa keluar 18 orang penghuni yang menetap di tingkat atas premis yang terbakar tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Amer memaklumkan bahawa anggotanya berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak sekitar jam 11.45 pagi tadi
Tambah beliau, kesemua mangsa terlibat telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kebakaran stor barangan di Taman Sri Andalas
;