Kebakaran di stesen injap: Bomba ambil masa 30 minit padam api
Astro Awani
November 14, 2018 10:58 MYT
November 14, 2018 10:58 MYT
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim terpaksa mengambil masa lebih 30 minit untuk mengawal kebakaran di Stesen Injap Petronas M417 Lunas, dekat Kulim, Kedah, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, gas metana yang dilepaskan dari sebatang paip pelepasan gas di stesen injap itu dikesan terbakar dan mengeluarkan api.
Komander Operasi BBP Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.35 malam dan tiba di lokasi kira-kira jam 8.47 malam.
"Kelihatan api sedang marak di penunu batang besi injap terbabit. Tindakan pantas terpaksa dilakukan anggota dengan cuba menutup saluran gas yang bocor untuk memadam api," katanya.
Hamizul Azwan memaklumkan, kebakaran dipadam sepenuhnya pada jam 10 malam.
"Mujurlah kawasan itu jauh daripada penempatan awam dan tiada letupan berlaku," tambahnya.
Operasi disertai seramai enam anggota termasuk penyelia, bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulim serta bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas.
#API
#Gas Metana
#Hamizul Azwan Hamdan
#injap
#kebakaran
#Kulim
#paip pelepasan gas
#Petronas
#stesen