Kebakaran di medan selera Alor Setar, polis siasat kaitan kes bakar al-Quran
Astro Awani
November 22, 2014 17:39 MYT
November 22, 2014 17:39 MYT
Medan selera yang terletak berdekatan Pasar Besar Alor Setar terbakar awal pagi tadi hingga menyebabkan enam buah gerai makan di situ hangus dijilat api.
Pihak polis, dalam usaha mengesan suspek bertanggungjawab, turut menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan penemuan cebisan al-Quran yang dibakar di kawasan sama Khamis lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof, kejadian itu disedari anggotanya pada jam 1.52 pagi tadi ketika membuat rondaan mencegah jenayah di sekitar kawasan tersebut, lalu segera menghubungi pihak bomba.
Beliau menasihati peniaga-peniaga terbabit agar membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Setakat ini pihaknya belum mengetahui punca kebakaran kerana tiada saksi berada di lokasi kejadian dan meminta pihak bomba menjalankan siasatan segera.
Dalam pada itu, polis meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau bertindak sendiri berhubung insiden berkenaan.
“Tuan gerai di medan selera tersebut telah dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan saya percaya ada antara mereka telahpun berbuat demikian.
“Pihak polis akan laksanakan siasatan lanjut. Berdasarkan laporan polis, kami telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan bencana dengan menggunakan api,” ujar Zakaria.
Bagi peniaga pula, mereka hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 4 pagi tadi selepas dihubungi rakan-rakan peniaga lain yang datang awal untuk memulakan perniagaan.
Medan selera tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun dan itu merupakan kali pertama kejadian seumpamanya berlaku.
Dalam perkembangan lain, Zakaria menambah, lelaki yang ditahan berhubung kes cebisan al-Quran yang dibakar Khamis lalu masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi menjalani rawatan.