Kebakaran di kokpit, penerbangan Cargolux mendarat cemas
Bernama
Januari 16, 2019 05:30 MYT
Januari 16, 2019 05:30 MYT
Penerbangan Cargolux Airlines CV703, dalam perjalanan ke Zhengzhou, China, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus berlepas pada Rabu setelah dilaporkan berlaku kebakaran kecil dan asap di kokpit.
Syarikat penerbangan kargo berpangkalan di Luxembourg itu dalam satu kenyataan di sini berkata, keadaan cemas diisytiharkan selepas kru melaporkan berlaku kebakaran itu.
"Kru pengendali membuat keputusan berpatah balik ke Kuala Lumpur dan pesawat mendarat dengan selamat," kata Cargolux.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pengendali lapangan terbang KLIA, dalam Twitter dan Instagram rasminya berkata pesawat itu mendarat dengan selamat pada 8.14 malam dan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
MAHB berkata, landasan berkenaan, Runway 1 (32R) kini ditutup bagi membolehkan pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang memeriksa pesawat.
"Kami menjangka beberapa penerbangan tertangguh berikutan penutupan landasan itu.
"Sila hubungi syarikat penerbangan anda mengenai jadual penerbangan terbaru," katanya.
Ia berkata Cargolux memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu untuk mengetahui sebab berlaku insiden berkenaan.
-- BERNAMA
#Cargolux Airlines
#China
#jadual penerbangan
#kebakaran
#kecemasan
#KLIA
#landasan
#Luxembourg
#patah balik
#penerbangan
#pesawat
#runway
#tangguh
#tutup
#Zhengzhou