Kebakaran di Jalan Ipoh, 13 keluarga hilang tempat tinggal

Afiezy Azaman
Disember 20, 2019 18:11 MYT
Kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 90 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Foto JBPM
Seramai 60 individu daripada 13 buah keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Kovil Hilir, Jalan Ipoh hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran petang Jumaat.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.53 petang.
"Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Jalan Tun Razak, BBP Titiwangsa dan BBP Keramat dengan empat jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati kebakaran melibatkan deretan rumah setinggan berkeluasan 240,000 kaki persegi yang didiami 60 individu daripada 13 buah keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak 90 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
"Setakat ini kesemua mangsa dipindahkan ke Pusat Komuniti Sentul," jelasnya.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #kebakaran jalan Ipoh #Kuala Lumpur #Malaysia #operasi #siasatan
;