Kebakaran bilik server: Sistem, perkhidmatan dalam talian Sarawak pulih Isnin

Bernama
Mei 27, 2022 21:15 MYT
Kebakaran dilaporkan oleh orang awam pada Khamis malam selepas asap tebal dilihat keluar dari salah satu daripada 22 tingkat bangunan Wisma Bapa Malaysia di Kuching. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kerja-kerja memulihkan sistem dan perkhidmatan dalam talian kerajaan Sarawak yang tergendala akibat kebakaran di bilik server di Wisma Bapa Malaysia di sini malam Khamis, dijangka selesai Isnin ini.
Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), syarikat teknologi maklumat (IT) milik kerajaan negeri, dalam kenyataan dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memaklumkan para pakarnya telah bekerja 24 jam sejak insiden itu dengan sebahagian sistem yang kritikal berjaya dipulihkan.
"Kami akan meneruskan usaha untuk memastikan sebahagian besar sistem dan perkhidmatan kembali berfungsi menjelang Isnin ini," menurut kenyataan itu.
BACA: Aplikasi e-tunai S Pay tergendala, bilik server terbakar
Sementara itu, Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan kebakaran dilaporkan oleh orang awam pada 7.13 malam Khamis selepas asap tebal dilihat keluar dari salah satu daripada 22 tingkat bangunan pusat pentadbiran negeri itu.
Bekalan elektrik di bangunan itu diputuskan pada 8.28 malam sebelum anggota bomba dapat memasuki bilik server dan memadamkan api.
-- BERNAMA
#perkhidmatan dalam talian #kebakaran #Sarawak Information Systems #Bilik server terbakar