Kebakaran bilik BSJN IPD Timur Laut tidak jejas siasatan, perbicaraan kes - OCPD

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 25, 2021 22:44 MYT
Kebakaran itu tidak melibatkan kemusnahan dokumen penting penyiasatan termasuk barang-barang kes. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Polis menegaskan kebakaran bilik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) hari ini tidak menjejaskan sebarang siasatan kes.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kebakaran itu tidak melibatkan kemusnahan dokumen penting penyiasatan termasuk barang-barang kes.
"Kejadian itu tidak akan menjejaskan kes sama ada yang masih dalam siasatan atau yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah.
“Isi kandungan dokumen-dokumen yang musnah dalam kebakaran tersebut juga telah dimuat naik dalam sistem maklumat Polis Diraja Malaysia sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Bilik siasatan jenayah narkotik IPD Timur Laut terbakar
Berikutan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat andaian sendiri termasuk memuat naik komen negatif berhubung kejadian berkenaan di media sosial.
Katanya, terdapat komen negatif menerusi laman sosial Facebook mendakwa bahawa kebakaran itu disengajakan bagi tujuan penghapusan bahan bukti agar pesalah terlepas daripada pendakwaan dan hukuman.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai menghentikan komen-komen berbentuk andaian berkaitan insiden kebakaran tersebut yang boleh menimbulkan presepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat umum.
AWANI Ringkas: Jangan spekulasi isu kebakaran bilik polis
Soffian menjelaskan, kebakaran itu yang melibatkan sebuah pejabat menempatkan unit pentadbiran dan fotografi telah memusnahkan beberapa fail, komputer, pendingin hawa dan peralatan pejabat termasuk foto.
Dalam kejadian jam 7.55 pagi Isnin, bilik BSJN di tingkat empat bangunan IPD Timur Laut di George Town itu terbakar dan memusnahkan 40 peratus bilik berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.
#kebakaran #Bilik #BSJN #IPD #Timur Laut #terbakar #siasatan #Kes #perbicaraan #fail
;