Kebakaran Belaga: Saya lihat makcik-makcik menangis teresak-esak - Saksi

Nursyazwani Saiful Sham
April 16, 2019 13:07 MYT
Apa yang lebih tragis, Ricky Enchirong mengatakan bahawa kebanyakkan penghuni rumah itu terpaska meninggalkan kediaman mereka sambil menangis teresak-esak kerana tidak dapat menyelamatkan barang berharga. Foto: Bernama
“Selepas melihat asap tebal, saya terus jerit minta penghuni rumah untuk tinggalkan kediaman mereka.”
Itu detik cemas yang diceritakan penyewa dan penghuni rumah panjang di Uma Bawang, Sungai Koyan, di Skim Penempatan Semula Sungai Asap musnah dalam kebakaran petang Isnin.
Apa yang lebih tragis, Ricky Enchirong mengatakan bahawa kebanyakan penghuni rumah itu terpaksa meninggalkan kediaman mereka sambil menangis teresak-esak kerana tidak dapat menyelamatkan barang berharga.
“Selepas saya balik dari kerja semalam dan baru nak parkir, saya nampak asap tebal dan terus berlari masuk ke rumah sambil menjerit kepada penghuni lain untuk tinggalkan kediaman mereka.
“Saya saksikan makcik-makcik yang terpaksa berlari dalam keadaan menangis teresak-esak kerana kehilangan barangan berharga.
“Tragedi itu kini masih menghantui diri saya kerana saya menyaksikan sendiri kebakaran itu dan merasakan penderitaan penghuni rumah ini walaupun saya bukan kelahiran tempatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, jelas Ricky mangsa yang terjejas dalam tragedi ini memerlukan bantuan asas kerana hampir keseluruhan rumah dan harta mereka musnah dalam kebakaran itu.
“Buat masa ini mangsa ditempatkan di rumah panjang seberang dan bersama dengan sanak saudara mereka.
“Apa yang sangat diperlukan penghuni rumah panjang yang hangus dijilat api ini adalah barangan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan peralatan dapur. Mereka juga memerlukan bantuan dari segi kewangan,” jelasnya.
BACA: 407 hilang tempat tinggal dalam kebakaran rumah panjang di Belaga
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu mengesahkan seramai 407 mangsa hilang tempat tinggal yang musnah dalam kebakaran sekitar jam 6.00 petang itu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
#Belaga #kebakaran #menangis #musnah #Ricky Enchirong #Rumah panjang #Sarawak #Sungai Koyan #Uma Bawang
;