Kebajikan pekerja sokongan swasta di hospital kerajaan perlu dijaga - Khairy
Irwan Muhammad Zain
Februari 8, 2022 15:50 MYT
Februari 8, 2022 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan berusaha memastikan kebajikan pekerja-pekerja sokongan di hospital terjaga.
Khairy menjelaskan, kebajikan pekerja sokongan di hospital amat penting kerana mereka semua merupakan barisan hadapan yang bertungkus-lumus berdepan COVID-19.
Beliau memaklumkan, pihaknya akan melihat secara komprehensif tuntutan-tuntutan yang dibangkitkan oleh Kesatuan Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).
"Kebajikan mereka (pekerja sokongan swasta) juga tanggungjawab saya dan kami di Kementerian Kesihatan. Tuntutan-tuntutan yang dibangkitkan akan dilihat secara komprehensif.
"Saya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi untuk memahami pekara yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan pekerja sokongan swasta ini.
"Saya memberi komitmen untuk mengusahakan supaya kebajikan mereka sebagai frontliners juga yang banyak membantu dalam berdepan pandemik COVID-19. Kita jangan pandang ringan kepada perjuangan mereka," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil NUWHSAS.
Sementara itu Presiden NUWHSAS, Rodziah Mohd Hashim berkata, pihaknya mengemukakan tiga tuntutan terhadap KKM dalam pertemuan bersama Khairy pada Selasa.
"Kami cuma membawa tiga tuntutan, yang pertama isu kontrak, yang kedua hentikan pemerasan terhadap keastuan dan yang ketiga kami menuntut elaun COVID terhadap sahabat-sahabat saya yang sedang bekerja," katanya.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia menyerahkan memorandum tuntutan tersebut pada pertemuan dengan Menteri Kesihatan di Pejabat KKM pada Selasa.