Kebajikan anggota, ahli keluarga JBPM terus dijaga

Bernama
Jun 7, 2024 05:40 MYT
Ahmad Izram berkata ia berikutan tugas dan tanggungjawab anggota penyelamat sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko sama ada dari segi kesihatan mahu pun keselamatan nyawa. - Foto BERNAMA
BATU KAWAN: Aspek kebajikan dalam kalangan pegawai dan anggota bomba termasuk ahli keluarga merupakan elemen penting yang dititikberatkan oleh barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata ia berikutan tugas dan tanggungjawab anggota penyelamat sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko sama ada dari segi kesihatan mahu pun keselamatan nyawa.
"Kebajikan bagi setiap pegawai dan anggota bomba telah diberi perhatian ataupun perlindungan oleh kerajaan melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) dan ia merupakan bantuan kewangan yang diberikan dalam situasi berlakunya kematian, kecederaan kekal, bantuan pelajaran dan sebagainya.
"Persatuan Kebajikan JBPM pula saluran terbaik untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada pegawai-pegawai bomba yang memerlukan dengan kadar segera bagi meringankan beban kewangan mangsa, keluarga atau waris yang terkesan akibat kematian, bencana atau kemalangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Biro Kebajikan Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA) Kebangsaan peringkat Zon Utara di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu, sebanyak 15 penerima terdiri daripada balu dan waris keluarga wira merah dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak yang gugur ketika operasi, terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia akibat masalah kesihatan turut menerima sumbangan wang tunai, baucar pakaian serta bakul makanan.
Ahmad Izram berkata pihaknya sentiasa mengambil berat kebajikan keluarga waris dan berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban dihadapi mereka.
-- BERNAMA
#JBPM #keselamatan nyawa #PERISMA #kecederaan kekal
;