Kebaikan Masing wajar dijadikan teladan rakyat Malaysia dan Indonesia - Gabenor Kalbar
Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 31, 2021 19:37 MYT
Oktober 31, 2021 19:37 MYT
KUCHING: Jasa mendiang Tan Sri James Jemut Masing bukan hanya dirasai penduduk di DUN Baleh dan Sarawak tetapi juga dinikmati penduduk negara jiran, Kalimantan Barat, Indonesia.
Bagi Gabenor Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia, Sutramidji, segala kebaikan yang dilakukan Masing wajar dijadikan teladan buat rakyat Malaysia dan Indonesia.
Ujarnya, berita kematian ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Sarawak dan penduduk Malaysia malah ia juga memberi kesan kepada pemimpin Kalbar.
"Semoga segala kebaikan yang dilakukan beliau menjadi contoh dan teladan bagi kita semua,’’ katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.
Tambahnya, mendiang merupakan salah seorang individu yang banyak membantu wilayah Kalbar terutama dalam menangani isu pandemik COVID-19.
“Saudara Masing turut membantu Kalbar dengan menghantar bekalan oksigen masuk ke Indonesia melalui sempadan Tebedu-Entikong di saat wilayah ini dilanda krisis kekurangan oksigen pada Jun hingga Ogos lalu.
‘’Beliau bersama delegasinya turut menghantar kereta berisi oksigen ke kawasan sempadan beberapa waktu lalu. Saya yakin beliau orang baik.
‘’Saya mewakili warga Kalbar, menyampaikan rasa duka cita yang sangat dalam ke atas pemergian mendiang,’’ tambahnya.
Masing, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Petra Jaya, pada jam 7.05 pagi Ahad.
Mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September lalu akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Selepas kesihatannya semakin merosot, beliau dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah, minggu lalu.
#Pemergian Tan Sri James Jemut Masing
#Timbalan Ketua Menteri Sarawak
#Sutramidji
#Gabenor Kalimantan Barat Kalbar Indonesia