KEB 2024 satu agenda berperlembagaan - Noor Azlan
Nursyazwani Saiful Sham
Februari 28, 2024 12:30 MYT
Februari 28, 2024 12:30 MYT
KUALA LUMPUR : Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadual berlangsung pada 29 Feb ini disifatkan sebagai satu agenda berperlembagaan.
Ini kerana, menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif UKM (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, agenda tersebut bukan sahaja membantu bumiputera, malah bukan bumiputera juga, untuk memperkasa ekonomi.
“Dalam Perlembagaan disebut 'kaum lain', jadi KEB 2024 ini tidak mengenepikan kaum lain. Dalam konteks ini, saya merasakan bahawa ia bersifat sebagai satu agenda berperlembagaan.
“Agenda itu adalah milik semua orang, bukan bumiputera sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.
“Jadi, amat tepat sekali saranan Perdana Menteri untuk mengajak masyarakat bukan bumiputera datang bersama, satu naratif terpahat kuat,” katanya pada sidang media ‘Memperkasakan Ekonomi Bumiputera Apa Yang diharapkan?’ di sini hari ini.
Noor Azlan berkata, ia merupakan naratif KEB 2024 yang sangat penting, selain menepati naratif economic reasoning of development yang perlu diusahakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ketika merasmikan prapelancaran KEB 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kongres tersebut mengharapkan kerjasama dan penyertaan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan, selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera.
Anwar juga berkata beliau akan menjemput pemimpin dewan perniagaan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India untuk memberikan pandangan dan input mereka supaya KEB 2024 tidak dianggap eksklusif.
Sementara itu, Noor Azlan menegaskan, apa-apa polisi yang bersifat afirmatif perlu diselesaikan dalam menangani isu ekonomi bumiputera.
Ini kerana, katanya, polisi sedemikian dikhuatiri tidak akan meningkatkan keupayaan dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara.
Justeru, empat perkara tersebut iaitu polisi yang jelas, faktor identifikasi, bentuk mekanisme untuk capai matlamat dan waktu pelaksanaan adalah sangat penting.