KEB 2024: Pemilikan Bumiputera dalam syarikat korporat di Bursa Malaysia masih tidak memuaskan - TPM

Firdaus Azil
Februari 29, 2024 10:10 MYT
Golongan Bumiputera dilihat masih belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Malaysia, dedah Ahmad Zahid.
PUTRAJAYA : Golongan Bumiputera dilihat masih belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Malaysia, dedah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 itu menggariskan, situasi tersebut berkemungkinan berpunca daripada terbatasnya akses kepada pembiayaan dan pendanaan bagi memula atau memperluaskan perniagaan.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, inisiatif-inisiatif melalui dasar afirmatif sedia ada perlu diperkemaskan agar tahap penyertaan, khususnya dengan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang diilhamkan sempena KEB 2024, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dapat dipertingkatkan.
“Dengan Transformasi Ekonomi Bumiputera kita akan terus memastikan peranan agensi-agensi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji serta lain-lain akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor perekonomian.
“Dengan kita memberikan fokus serta memperkemaskan inisiatif sedia ada, Transformasi Ekonomi Bumiputera diyakini mampu mengatasi cabaran-cabaran sosioekonomi yang dihadapi dan membuka pintu ke jalan kemajuan yang lebih luas bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Khamis.
Bertemakan Positif, Progresif dan Inovatif, KEB 2024 berlangsung selama tiga hari bermula Khamis merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
KEB 2024 perkasa ekonomi Bumiputera
Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan semua usaha pengupayaan Bumiputera baik di peringkat kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan dengan berkesan, beliau ingin mengusulkan MARA perlu diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.
Tambah beliau lagi, Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, GLC dan GLIC perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan.
Tidak ketinggalan, Ahmad Zahid menegaskan, negara tidak boleh mengabaikan kekuatan pokok yang membentuk asas kemampanan negara bangsa iaitu kekuatan dalam pemeliharaan kesatuan dan kesepaduan, kestabilan politik dan struktur sosial yang teguh.
Justeru, beliau mengingatkan, KEB 2024 mesti dijadikan medan untuk semua pihak meningkatkan keupayaan ekonomi Bumiputera agar lebih dinamik dan berani beradaptasi dengan perubahan yang tidak menentu dalam pasaran kewangan, ketidak pastian global, konflik wilayah dan geopolitik, inflasi, pandemik serta lain-lain cabaran agar Bumiputera mempunyai ketahanan (resilient) serta kemampuan untuk terus bersaing.
“Transformasi Ekonomi Bumiputera mestilah dijadikan satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Bumiputera dan menarik pelaburan agar kita dapat membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.
“Kita mesti berani mencipta kekuatan dalam menjalin hubungan luar melalui promosi dan diplomasi perdagangan serta kerjasama antarabangsa. Langkah ini mampu membuka pintu peluang yang lebih luas dan membina jambatan kesejahteraan bersama di peringkat global,” jelas beliau lagi.
Ahmad Zahid juga menyarankan semua pihak agar tidak seharusnya hanya berlegar di arena domestik tetapi perlu mensasarkan pasaran sejagat yang mempunyai potensi nilai pasaran melebihi 5 trilion dollar Amerika menjelang tahun 2030.
Oleh yang demikian, Timbalan Perdana Menteri yakin dengan pelaksanaan TEB, bukan hanya ekonomi Bumiputera sahaja dapat diperkasa, tetapi kemampanan bagi negara bangsa juga dapat dibina.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid tidak ketinggalan menggesa peningkatan penglibatan kaum wanita dalam agenda pembangunan ekonomi.
“Peranan kaum wanita juga menjadi elemen penting sebagai suatu kekuatan yang mendukung pembangunan lebih seimbang dan berkeadilan. Keterlibatan dan pemerkasaan wanita bukan sahaja menjadi tuntutan masa kini.
“Sebaliknya, wanita yang terlibat dalam pelbagai sektor dan peringkat kehidupan membawa sinergi yang tak ternilai kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial kita,” kata beliau lagi.
#Kongres Ekonomi Bumiputera #Transformasi Ekonomi Bumiputera #pemilikan Bumiputera #TPM Ahmad Zahid Hamidi
;