KEB 2024 ketengahkan lebih 80 resolusi perkasa bumiputera

Bernama
Mac 2, 2024 05:50 MYT
Peserta KEB 2024 tekun mendengar ucapan Perdana Menteri pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 2 Mac 2024. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang melabuhkan tirainya semalam menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan bumiputera pada era pendigitalan.
KEB yang bermula Khamis lepas dilihat menjadi platform pelbagai pihak dari latar belakang berbeza berkongsi pandangan dan idea mereka berhubung permasalahan kaum bumiputera.
Memfokuskan kepada 10 kumpulan yang meliputi segenap aspek kehidupan bumiputera, kongres anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Kementerian Ekonomi itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli.
Sepanjang tiga hari, pengerusi setiap kumpulan, yang terdiri daripada pemain industri dan tokoh cendekiawan, membentangkan dapatan dari sesi libat urus bersama pelbagai pihak dan cadangan yang disifatkan mereka sebagai solusi kepada permasalahan yang telah dikenal pasti.
Satu daripada cadangan adalah dalam usaha memperkasakan kaum bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi iaitu menerusi penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera yang diutarakan oleh Pengerusi Kumpulan Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
Selain itu, turut disarankan solusi berkaitan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang disifatkan masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
Antaranya Pengerusi Kumpulan Sosioekonomi Bumiputera Sabah Prof Madya Datuk Dr Ramzah Dambul yang mengatakan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang tidak sempurna akan membantutkan usaha membangunkan ekonomi bumiputera di negeri itu.
Kumpulan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula mencadangkan supaya kerajaan menetapkan satu badan atau organisasi untuk menjalankan tadbir urus institut Tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program Tahfiz TVET dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Sementara itu, lebih 80 resolusi digariskan sebagai agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera hasil libat urus yang dijalankan beberapa bulan sebelum berlangsungnya kongres itu.
KEB 2024 memberi tumpuan kepada 10 kumpulan meliputi sektor Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama) dan Pemantapan Industri Halal; Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.
Tumpuan lain termasuk Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan; Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.
Pada majlis penutupan kongres itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan tiga isbat atau penetapan bagi mendukung aspirasi diutarakan oleh semua lapirasan masyarakat.
Ketiga-tiga isbat tersebut melibatkan usaha memperkukuh pasak ekonomi negara, meneguhkan kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
Anwar turut mengumumkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera.
Turut diumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta dan sasaran dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemantauan dan pelaksanaan semua resolusi yang diketengahkan merupakan perkara penting yang mesti diambil perhatian pascaKEB 2024.
"Kita berharap ia tidak hanya sekadar kongres dan kertas kerja tetapi pandangan-pandangan bernas yang kita perolehi sepanjang libat urus dan kongres telahpun diberikan komitmen oleh perdana menteri untuk dilaksanakan oleh kerajaan.
"Ini memerlukan pemantauan dan perlukan penyelarasan dan yang paling penting kita kena menilai dan mengukur kejayaan ini dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, sepanjang penganjuran kongres di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jumlah transaksi direkodkan berjumlah RM150,000 di 21 reruai jualan usahawan bimbingan MARA dan KKDW.
-- BERNAMA
#KEB 2024 #usahawan #resolusi #agenda pemerkasaan bumiputera
;