'Keangkuhan bukan penyelesaian' - Syed Saddiq tegur Foodpanda

Hasimi Muhamad
Oktober 7, 2019 20:57 MYT
Tegas Syed Saddiq, sesebuah syarikat korporat boleh dijatuhkan oleh pekerja dan pelanggan mereka. - Gambar BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kenyataan terbaharu yang dibuat syarikat penghantar makanan Foodpanda sebagai angkuh.
Syarikat tersebut pada Isnin mendakwa tidak terkesan dengan mogok yang dibuat penunggang mereka berkaitan pelaksanan skim pembayaran baharu, baru-baru ini.
Tegas Syed Saddiq, sesebuah syarikat korporat boleh dijatuhkan oleh pekerja dan pelanggan mereka.
“Sebagai #Yangberkhidmat, saya dipilih oleh rakyat dan boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja atau pengguna, dan boleh dijatuhkan oleh pekerja atau pengguna.
“Keangkuhan bukan penyelesaiannya,” demikian menurut beliau dalam kemas kini di akaun Twitter pada Isnin malam.

Sebagai #Yangberkhidmat,saya dipilih oleh rakyat & boleh dihukum oleh rakyat. Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja/pengguna, & boleh dijatuhkan oleh pekerja/pengguna. Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja & pengguna. https://t.co/js93ZiqPoe

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) October 7, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu media melaporkan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata syarikat itu tidak berdepan masalah jika penghantar makanan mahu mogok.
“Jika awak (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,” katanya dalam sesi taklimat Foodpanda seperti dilapor Malaysiakini.
Dalam taklimat sama, Sayantan turut menafikan bahawa pihaknya mengeluarkan ugutan sekiranya penghantar makanan terlibat dalam aktiviti mogok.
BACA: "Kami diugut jika lancarkan mogok" - Penghantar makanan Foodpanda
Terdahulu, lebih 100 penghantar makanan terdiri daripada wakil penghantar di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur hadir pada sesi dialog yang diadakan di kediaman Syed Saddiq.
Rata-rata meluah keluh-kesah berhubung tindakan Foodpanda memperkenalkan skim pembayaran baharu yang dianggap tidak adil.
#FoodPanda #Foodpanda angkuh #Mogok Foodpanda #penghantar makanan #Sayantan Das #Syed Saddiq