Keanggunan Tengku Puteri Afzan, ketampanan FD Idzham dapat perhatian ramai

Azyyati Ahmad
Ogos 24, 2024 11:00 MYT
Solekan untuk hari pernikahan, Tengku Puteri Afzan berkenan mendapatkan sentuhan magis jurumekap Roslan Nasir. - Foto IG Roslan Nasir
KUALA LUMPUR: Pada Khamis lalu, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar selamat diijabkabulkan dengan dua kali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.
Majlis pernikahan berkenaan turut dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Al-Sultan Abdullah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pastinya, keanggunan pasangan Diraja, Tengku Puteri Afzan dan FD Idzham menjadi bualan rata-rata pengguna di alam maya yang mengagumi elemen ringkas dan classy yang dibawakan kedua mempelai ini sekali gus menyerlahkan lagi wajah polos si tuan puteri.
Solekan untuk hari pernikahan, Tengku Puteri Afzan berkenan mendapatkan sentuhan magis jurumekap Roslan Nasir.
Roslan berjaya menaikkan seri pengantin pada wajah Tengku Puteri Afzan sehingga kelihatan sangat ayu dan lembut.
Manakala untuk rekaan busana pengantin bagi majlis berinai dan akad nikah, Tengku Puteri Afzan menyarung persalinan berona putih rekaan Haute Couture By RI.
Penataan gaya hijab pula, Tengku Puteri Afzan mendapatkan sentuhan Nazrul Anas Zunaidi, penata gaya hijab yang tidak asing lagi.
Mempelai lelaki, FD Idzham pula mengenakan busana Melayu dan bersampin putih sedondon kelihatan tenang sewaktu lafaz akad yang disempurnakan oleh Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.
Pada majlis akad nikah itu, Tengku Puteri Afzan menerima senaskhah kita suci al-Quran sebagai mas kahwin.
Istiadat perkahwinan diraja itu diadakan selama tiga hari iaitu pada 22, 23 dan 25 Ogos ini.
Majlis persandingan puteri diraja dengan suaminya yang juga anak kepada tokoh korporat itu akan diadakan pada Ahad ini.
Pasangan Al-Sultan Abdullah, 65, dan Tunku Azizah, 64, dikurniakan empat putera dan lima puteri.
Anakanda-anakanda baginda berdua ialah Tengku Hassanal; Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah; serta lima Tengku Puteri Raja iaitu Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Tengku Puteri Afzan, 23, merupakan kembar kepada Tengku Ahmad Ismail.
#Pahang #Sultan Pahang #Tengku Puteri Afzan Aminah #FD Idzham FD Iskandar