Keamanan dan keharmonian di Malaysia tepati ajaran Islam sebenar - Tun Mahathir
Firdaus Azil
Disember 18, 2019 21:25 MYT
Disember 18, 2019 21:25 MYT
Keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, boleh dikatakan menepati ajaran Islam yang sebenar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika berucap di majlis makan malam alu-aluan sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2019) malam ini, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam telah hidup bersama-sama sejak berdekad lamanya.
Tradisi itu, jelasnya lagi, telah lama berakar sejak Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat pada 1957.
“Saya mengaku, berlaku juga konflik yang melibatkan kaum dan agama di negara ini, tetapi ia sangat sedikit dan tidak penting, berbanding apa yang telah tercapai seperti keamanan, semangat muhibbah serta kemakmuran.
“Pada perkiraan kami, ini adalah menepati apa yang dikehendaki Islam - iaitu hidup dengan aman damai bersama rakyat bukan Muslim, bekerja bersama-sama dalam membina negara yang makmur, aman dan harmoni,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, negara ini sangat bertuah kerana dapat berkongsi kemakmuran itu bersama-sama.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri memberitahu perwakilan Malaysia bahawa KL Summit 2019 merupakan peluang terbaik untuk Malaysia menjadi tuan rumah yang sempurna.
Ia juga merupakan peluang terbaik untuk rakyat di negara ini mengenali dengan lebih dekat masyarakat Islam dari negara lain, seperti mana yang diajar melalui kitab suci Al-Quran, bahawa kesemua Muslim adalah saudara.
“Ada pepatah Melayu menyebut - tidak kenal maka tak cinta,” katanya lagi.
#ajaran islam
#keharmonian
#KL Summit
#Mahathir Mohamad
#masyarakat malaysia
#perpaduan
#rakyat Malaysia
#Sidang Kemuncak Kuala Lumpur