'Keajaiban memang wujud', kata ibu kepada bayi paling kecil di Malaysia
Astro Awani
Oktober 27, 2014 21:43 MYT
Oktober 27, 2014 21:43 MYT
Kebanyakan media tempatan pada Ahad melaporkan bahawa Voasha J. Kumar, yang kini berusia 5 tahun, direkodkan sebagai 'bayi paling kecil di Malaysia'.
Pengiktirafan daripada pihak Malaysia Book of Records itu disampaikan kepada Voasha melalui ibu bapanya, Michael J. Kumar, 38, dan Jashila Preya, 35.
Sebelum ini, pasangan tersebut pernah meminta agar memberi ruang waktu kepada bayi mereka untuk mencapai keadaan stabil dahulu sebelum sebarang pengiktirafan diberikan.
"Sewaktu dilahirkan, anak perempuan saya ini kecil dan tidak bermaya. Dia juga menangis. Keningnya terbentuk dan dia kelihatan cantik walaupun ketika itu dia sangat kecil.
"Doktor memberitahu kepada kami bahawa bayi kami ini tidak sempurna sifatnya dan tidak akan hidup lama.
"Namun, keajaiban memang wujud. Sewaktu saya melahirkannya ketika dalam minggu ke-26 kehamilan, dia kelihatan normal dan sehingga kini dia masih bertahan," kata Jashila.
Voasha ditempatkan dalam inkubator unit rawatan rapi selama lima bulan dan selepas itu dipantau dan diberi rawatan selama dua bulan di wad pediatrik.
Jashila amat berterima kasih kepada doktor dan petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana terbukti bahawa perkhidmatan di hospital kerajaan juga berkemampuan menguruskan bayi pramatang.
Michael dan Jashila memberitahu, walaupun anak mereka lambat bertutur dan saiznya berbeza sedikit berbanding rakan seusianya, namun dia tetap aktif dan cerdas.
"Saya bangga dengan anak saya kerana dia punya azam untuk hidup," kata mereka kepada pemberita selepas menganjurkan sambutan hari jadi Voasha di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Bayi paling kecil negara sebelum ini dilahirkan dengan berat 600 gram di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada November 2000.