Keadilan untuk banduan berprofil tinggi Malaysia: Lima falsafah hukuman untuk dipertimbang

Akhbar Satar
September 18, 2022 18:16 MYT
Bagi banduan berprofil tinggi terutama ahli politik yang dahulunya hidup mewah, penjara adalah 'neraka di dunia'. - Gambar hiasan
PADA 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta, kini berada di Penjara Kajang.
Tetapi ini bukan satu-satunya pertuduhan berkaitan rasuah yang dihadapi Najib, 69, kerana beliau mempunyai empat lagi kes mahkamah yang belum selesai dikaitkan dengan dana pelaburan milik kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Namun demikian, mahkamah sekali lagi bakal mencuri tumpuan kerana Najib tidak bersendirian menghadapi tuduhan rasuah memandangkan terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang kini berada di pelbagai peringkat pendakwaan.
Yang terbaru ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kerana meminta dan menerima rasuah dalam projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Kes berprofil tinggi lain yang masih dibicarakan atau menunggu keputusan mahkamah termasuk kes Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Samad yang telah diarah membela diri atas pertuduhan rasuah dan bersubahat dalam pelaburan RM150 juta FELCRA.
Bagi banduan berprofil tinggi terutama ahli politik yang dahulunya hidup mewah, penjara adalah 'neraka di dunia'. Kata bekas banduan daripada Penjara Kajang, keadaan sel sangat gelap, tidak selesa dan boleh membuatkan seseorang mengalami kemurungan.
Bagi tujuan ini, terdapat lima falsafah asas hukuman yang dianggap popular oleh pakar kriminologi untuk menghukum banduan tanpa mengira status mereka di dalam masyarakat.
Pembalasan
Pembalasan atau konsep an eye for an eye atau pembalasan yang setimpal dengan kesan yang diterima oleh mangsa adalah salah satu hukuman tertua yang tergolong dalam kategori hukuman berat. Jika seseorang melakukan kesalahan membunuh, maka hukuman yang dikenakan kepadanya juga adalah hukuman mati/bunuh sebagai pembalasan. Pembalasan adalah hukuman bagi jenayah terhadap masyarakat dan merampas kebebasan banduan dengan membuat mereka membayar balik hutang kepada masyarakat atas jenayah yang mereka lakukan.
Banduan tetap mesti dihukum mengikut keseriusan jenayahnya. Pakar percaya, bahawa pembalasan adalah alasan yang munasabah dan memberi kesan pesalah. Pendekatan ini bertujuan untuk menghukum banduan kerana mereka berhak dihukum setimpal.
Antara contoh hukuman pembalasan moden termasuk amalan berleluasa mengenakan denda serta menguatkuasakan dasar hukuman mandatori untuk kesalahan tertentu di bawah undang-undang tertentu.
Sebagai salah satu hukuman yang berkesan terhadap banduan, pembalasan telah dikritik rigid dan terhad dalam kapasitinya hanya untuk mengubah tingkah laku masyarakat. Walau bagaimanapun, bentuk hukuman ini masih kekal popular dan diguna pakai oleh banyak negara termasuk Malaysia.
Mematahkan Keupayaan (Incapacitation)
Konsep hukuman ini bertujuan untuk mengurangkan dan menyekat banduan daripada mengulang lagi melakukan jenayah pada masa hadapan. Pendekatan ini telah menjadi cara mengasingkan daripada masyarakat supaya mereka tidak lagi boleh membahayakan atau melakukan jenayah dalam kalangan orang awam.
Sebagai contoh, Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Sepanjang berada di dalam penjara, pesalah rasuah tidak dapat melakukan rasuah tersebut. Kesalahan pecah amanah boleh dihukum rotan dan denda.
Ramai menyuarakan rasa kagum kepada negara China kerana melaksanakan hukuman mati ke atas pegawai kerajaan disabit kesalahan rasuah, malah ada yang mencadangkan kita harus mencontohi negara itu.
Mantan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, mengatakan bahawa 'orang yang terlibat dengan rasuah patut dihukum tembak mati'.
Walaupun hukuman mati selalunya dianggap wajar sebagai suatu konsep pencegahan tetapi sama ada hukuman mati itu benar-benar boleh menghalang banduan masih dipertikai dan diragui.
Cuma apa yang tidak boleh dipertikaikan ialah apabila dihukum mati, seseorang individu tidak mampu untuk melakukan kesalahan selanjutnya. Oleh itu, hukuman mati dikatakan tidak dapat dinafikan 'berkesan' atau 'penyelesaian muktamad' kepada banduan.
Di Malaysia, seperti seksyen 409 Kanun Keseksaan kes pecah amanah jenayah (CBT) oleh penjawat awam/ejen yang boleh dihukum penjara dua tahun atau sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan denda. Peruntukan rotan ini boleh dimasukan ke dalam AKta SPRM 2009.
Ada pendapat mengatakan bahawa penjara telah disifatkan sebagai 'sekolah untuk jenayah', tempat pembiakan jenayah dan untuk melatih banduan biasa melakukan jenayah yang lebih berat atau melahirkan penjenayah profesional.
Pencegahan
Pencegahan adalah bertujuan untuk mencegah jenayah masa hadapan. Ketakutan untuk masuk penjara inilah yang diharapkan akan membuatkan seseorang itu berfikir semula sebelum melakukan jenayah tersebut.
Terdapat dua jenis pencegahan, iaitu, pencegahan am dan pencegahan khusus.
Pencegahan am bertujuan untuk menghalang orang lain daripada melakukan jenayah, manakala pencegahan khusus menghalang banduan daripada mengulangi jenayah.
Sesetengah aliran pemikiran percaya bahawa jika tujuan utama hukuman adalah untuk memberikan kesakitan fizikal kepada banduan, ia tidak mencapai maklamat utama kecuali jika menyedari betapa seriusnya kesalahan dilakukan olehnya dan untuk bertaubat .
Pemulihan
Pemulihan merujuk kepada proses melatih semula dan mencorak tingkah laku banduan untuk menghalang mereka daripada melakukan jenayah yang sama atau jenayah lain pada masa hadapan.
Selain daripada proses sosialisasi, banduan diberi peluang untuk memperoleh dan mengembangkan kemahiran, memberikan khidmat merawat dan memulihkan penagih dadah dan sifat agresif, juga untuk memastikan banduan melakukan pembaharuan atau belajar cara menangani cabaran yang akan dihadapi selepas dibebaskan. Kepakaran, kurikulum pendidikan semula dan integriti pegawai penjara adalah penting untuk menjamin kejayaan pemulihan banduan.
Restorasi
Restorasi adalah hasil daripada proses pemulihan di mana ia mengembalikan banduan kepada masyarakat dengan keyakinan, bahawa mereka boleh berintegrasi semula dengan selamat. Pendekatan ini memfokus kepada pemulihan, pembaikan dan transformasi banduan melalui berbaik semula (reconciliation) dengan mangsa dan ahli masyarakat serta tidak mengulangi kesilapan yang sama. Pendekatan terkini ini mengurangkan pesalah berulang.
Sistem penjara Norway adalah suatu sistem unik yang hanya menyekat kebebasan banduan. Sistem ini dianggap sebagai yang terbaik di dunia. Banduan mempunyai akses kepada kemudahan seperti bilik mandi peribadi, peti sejuk, televisyen dan persekitaran luar dengan kawalan keselamatan paling rendah.
Menariknya, kata setengah pakar, Norway antara negara mempunyai kadar pesalah berulang paling rendah di dunia, manakala Singapura pula mempunyai penjara terburuk di mana banduan hanya dibekalkan dengan tikar jerami serta dua selimut sebagai amaran jangan cari pasal dan lakukan jenayah di negara itu.

* Datuk Seri Akhbar Satar dari Akhbar & Associates dan Pemegang kursi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP Universiti.
** Artikel ini merupakan pandangan penulisnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#banduan profil tinggi #Hukuman #pembalasan #penjara
;