'Keadilan sosial, jauhi rasuah ramuan kejayaan negara Islam' - Hishammuddin

Wan Syamsul Amly
Mac 27, 2016 23:30 MYT
HISHAMMUDDIN: kekuatan umat Islam di negara ini dilihat dapat menyumbang sesuatu kepada keamanan serta toleransi masyarakat dunia. - Gambar fail
Keadilan sosial dan sentiasa menjauhkan diri dari rasuah menjadi keutamaan dalam sesebuah negara Islam untuk mencapai kejayaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia termasuk usaha memadam label sesebuah negara Islam yang diselubungi kemiskinan serta kelaparan.
"Saya percaya seandainya kita mahukan keadilan, kita perlu melakukannya. Keadilan sosial adalah keutamaan yang harus diletakkan di tempat pertama bagi setiap Muslim.
"Kita perlu letakkan keutamaan yang betul pada tempatnya. Pentadbiran kerajaan adalah kuncinya. Rasuah perlu dihapuskan tanpa takut atau memilih bulu," katanya semasa ucapan penutup Konvensyen 'The Straight Path: The Major Obstacles' di PWTC di sini hari ini.
Konvensyen dua hari yang berakhir hari ini membincangkan cabaran umat Islam dalam menghadapi isu-isu semasa.
Ia dihadiri lebih 2,000 peserta dari seluruh dunia.
Dalam pada itu kata Hishammuddin, kekuatan umat Islam di negara ini dilihat dapat menyumbang sesuatu kepada keamanan serta toleransi masyarakat dunia.
#Hishammuddin Hussien #Islam #Muslim #The Straight Path
;