Keadaan tenang di perkarangan kuil Sri Maha Mariamman
Wan Syamsul Amly
November 27, 2018 09:17 MYT
November 27, 2018 09:17 MYT
Keadaan tenang dan terkawal di sekitar kuil Sri Maha Mariamman dan Menara MCT yang menempatkan pejabat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City) di USJ 25, Putra Heights di sini, setakat jam 9 pagi ini.
Tinjauan mendapati, jalan sesak kerana penduduk setempat keluar ke tempat kerja masing-masing sementara beberapa pegawai polis kelihatan tenang mengawal situasi di bawah jejambat berhampiran.
Keadaan juga seperti hari-hari biasa, malah tiada langsung individu yang mungkin terlibat dalam perhimpunan pada malam sebelumnya, berada di lokasi.
Dua bangkai kereta yang terbalik berhampiran kuil juga berada di bahu jalan dan tidak mengganggu trafik.
Difahamkan, One City akan mengadakan sidang media hari ini namun butiran terperinci masih belum diperolehi.
Pada awal pagi ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan keadaan di kuil Sri Maha Mariamman di terkawal.
Terdahulu, kekecohan yang berlaku di kuil itu tercetus semula pada kira-kira 1 pagi ini apabila sebahagian orang awam yang berkumpul bertindak ganas membakar bangkai kereta dan kereta serta merosakkan jentera bomba.
Kira-kira pukul 2 pagi, sebahagian yang berkumpul di kuil itu bergerak ke Menara MCT dan merosakkan harta benda di pejabat yang terletak kira-kira dua kilometer dari kuil itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis akan membuat kawalan 24 jam dan meminta kira-kira 2,000 individu yang masih berkumpul di sekitar kuil itu malam tadi untuk bersurai dan tidak menimbulkan provokasi.
#bangkai kereta
#kekecohan
#kuil
#Mazlan Mansor
#Menara MCT
#Mohamad Fuzi Harun
#One City
#pemaju
#polis
#Putra Heights
#Sri Maha Mariamman