Keadaan tenaga buruh negara semakin baik, kadar pengangguran rendah mulai Dis 2021
Bernama
Februari 9, 2022 08:33 MYT
Februari 9, 2022 08:33 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan tenaga buruh negara semakin baik pada Disember 2021 dengan kadar pengangguran yang lebih rendah dicatatkan iaitu 4.2 peratus dengan 687,600 penganggur, sementara guna tenaga terus meningkat, menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Pandemik COVID-19 yang melanda ekonomi global untuk tahun kedua berturut-turut, telah menghalang pemulihan pasaran buruh secara penuh dan seimbang, katanya dalam satu siaran media mengenai Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2021 yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata bagi menangani situasi itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan kesihatan awam dilindungi dan membolehkan ekonomi negara dibuka semula secara berperingkat menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pada Disember lepas, penduduk bekerja terus meningkat dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang daripada 15.61 juta orang pada November 2021.
"Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1 peratus (66.0 peratus pada November 2021)," katanya.
Beliau berkata guna tenaga dalam sektor perkhidmatan kekal tinggi bagi bulan keenam, selain sektor pembuatan dan pembinaan merekodkan pertumbuhan positif bagi lima bulan berturut-turut, manakala guna tenaga dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian terus menurun sejak Ogos 2020.
Mengulas mengenai situasi pengangguran pada Disember lepas, beliau berkata mengikut kategori pengangguran, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur.
"Kumpulan ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 576,500 ribu orang (daripada 581,800 pada November 2021). Penganggur kurang dari tiga bulan meliputi 55.9 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 7.6 peratus," katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada tahun lepas meningkat 0.2 mata peratus kepada 68.6 peratus, berbanding 68.4 peratus pada tahun 2020.
"Di Malaysia, kesan daripada pandemik COVID-19 menyebabkan pemulihan ekonomi sedikit terganggu dan ia juga menjejaskan pemulihan semula keseluruhan pasaran buruh, memandangkan pemulihannya berkadar terus dengan prestasi ekonomi," katanya.
Beliau berkata aktiviti perniagaan dan sosial beroperasi pada kapasiti penuh dan lebih banyak aktiviti perjalanan di dalam dan luar negara apabila semua negeri berada dalam Fasa 4 PPN bermula Januari tahun ini.
Justeru, katanya, perkembangan positif itu memberi isyarat bahawa pasaran buruh dijangka bertambah baik pada bulan-bulan akan datang, bagaimanapun hal itu tidak mengambil kira cabaran varian baharu dan lebih berbahaya.
-- BERNAMA