Keadaan Najib agak teruk, akan dirujuk ke Hospital Kajang
Sinar Harian
September 12, 2022 12:24 MYT
September 12, 2022 12:24 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang ini kerana mengalami masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sri Ram berkata, bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara bahawa ubat tekanan tinggi yang diambil Najib telah berubah.
“Ia memberi kesan buruk dan keadaannya agak teruk, namun Datuk Seri Najib bersedia untuk mengikuti prosiding kes ini sehingga jam 12.30 tengah hari,” katanya. - Sinar Harian