Keadaan mendesak dorong penduduk bersekongkol dengan sindiket rokok haram - Akhbar Satar

Rahimah Abdullah
Jun 24, 2021 11:01 MYT
Akhbar berkata, sindiket itu mempergunakan penduduk dengan menawarkan bantuan atau kemudahan termasuk membaiki tempat ibadat dan dewan komuniti. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keadaan mendesak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ada penduduk tempatan yang sanggup bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok haram.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, sindiket itu mempergunakan penduduk dengan menawarkan bantuan atau kemudahan termasuk membaiki tempat ibadat dan dewan komuniti.
Menurut Akhbar, modus operandi sindiket kini beralih kepada penyeludupan melalui jeti-jeti kecil berbanding perhentian di pelabuhan sebelum ini.
"Kita dapati mereka ini akan mengambil hati dan fikiran orang tempatan dengan memberi apa kemudahan sahaja seperti untuk memperbaiki tempat menjalankan ibadat, dewan komuniti dan sebagainya.
"Jadi, oleh kerana mungkin terdesak sebab PKP ini, mereka akan membantu sindiket berkenaan sedangkan kita rugi lebih kurang RM5 bilion setahun sebab penyeludupan rokok di negara kita ini," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Beliau turut menggariskan beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi memastikan aktiviti penyeludupan haram dapat dibasmi.
Ia termasuk meletakkan mereka yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam mengawasi pergerakan sindiket, memastikan kerjasama antara agensi berjalan dengan baik tanpa agenda tertentu, dan menyediakan kelengkapan sepatutnya kepada agensi terlibat.
Selain itu, kerajaan perlu memastikan pembangunan ekonomi di kawasan pesisiran bagi memastikan kehidupan yang lebih baik, dan penduduk tidak bersekongkol dengan sindiket.
#PKP #Akhbar Satar #sindiket penyeludupan rokok haram #keadaan mendesak #perintah kawalan pergerakan #Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia #jeti kecil
;