Keadaan ibu Zayn Rayyan kosong, tiada reaksi, kata pegawai penyiasat
Sinar Harian
Februari 5, 2025 14:07 MYT
Februari 5, 2025 14:07 MYT
PETALING JAYA: Pegawai Penyiasat bagi kes Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemukan mati dua tahun lalu memaklumkan pengadu, Ismanira Abdul Manaf kelihatan kosong sewaktu proses rakaman percakapan berlangsung.
Menjelaskan kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin berkata, maksud kosong itu adalah tiada sebarang reaksi daripada pengadu yang juga ibu kepada kanak-kanak autism berkenaan pada ketika itu.
"Semasa rakaman percakapan diambil saya ada bertanyakan beberapa soalan dan pengadu tidak dapat menjawab," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai keadaan Ismanira ketika proses mengambil percakapan berlaku di lokasi.
Terdahulu, prosiding perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan pada hari ketiga terhenti kira-kira tiga minit selepas Nina Syamimi, 33, kelihatan sebak lalu menangis di kandang saksi.
Nina Syami yang merupakan saksi pendakwaan keempat kelihatan menyapu air mata dengan sehelai tisu sebelum meneruskan perbicaraan.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan,6, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian