Keadaan di Kuala Lumpur terkawal - Ketua Polis KL
Hilal Azmi
Februari 21, 2016 20:19 MYT
Februari 21, 2016 20:19 MYT
Polis memberi jaminan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur terkawal dan tiada maklumat berkaitan ancaman pengganas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa memberitahu Astro AWANI, rondaan oleh polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) giat dijalankan di kawasan tumpuan ramai.
"Pihak keselamatan hotel, pusat beli belah dan pelancong dimaklumkan berkaitan rondaan ini.
"Orang ramai tak perlu risau tetapi dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan melalui aplikasi Whatsapp kepada Astro AWANI.
Terdahulu, pemerintah Australia mengingatkan rakyatnya yang berada di Malaysia berwaspada dengan ancaman pengganas yang mungkin berlaku di sekitar Kuala Lumpur, lapor laman web rasminya pada Ahad.
Dalam kenyataan itu, ancaman serangan itu mungkin menyasarkan kawasan yang sering dikunjungi warga asing khususnya pelancong Barat.
Dalam minggu sebelum ini, United Kingdom juga mengeluarkan peringatan seumpamanya tentang pelan perjalanan ke pulau-pulau peranginan di Malaysia Timur seperti di Sabah, yang berdekatan dengan Filipina, dengan mendedahkan risiko warga asing menjadi sasaran penculikan dan jenayah.
Australia menasihatkan rakyatnya agar mengambil langkah berhati-hati di seluruh Malaysia, dengan mengelakkan perjalanan ke timur Sabah termasuk pulau-pulau dan loaksi menyelam skuba. New Zealand juga megklasifikasikan perjalanan ke destinasi tersebut sebagai 'berisiko tinggi'.
Menurut laporan Bloomberg, seorang jurucakap Kementerian Luar Malaysia memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa memaklumkan pihak luar tentang perkembangan hal-hal keselamatan.
"Negara luar bebas untuk mengeluarkan penilaian sendiri tentang situasi keselamatan negara lain, walaupun ia mungkin tidak tepat atau menunjukkan situasi sebenar," ujar jurucakap itu seperti yang dipetik daripada agensi berita tersebut.
#ancaman di Kuala Lumpur
#Australia keluarkan amaran
#Sabah
#sasaran warga asing
#serangan pengganas