Keadaan banjir semakin pulih, tiga pusat pemindahan ditutup
Nazialita Geynna Maharan
Mei 28, 2018 13:04 MYT
Mei 28, 2018 13:04 MYT
Keadaan banjir sekitar negeri yang melanda tiga buah daerah di Taiping dan Manjung serta Hilir Perak kini menunjukkan tanda-tanda positif dengan paras air mulai surut sejak petang Ahad.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Larut Matang dan Selama, Kapt (PA) Faizulhalimi Mohd Yunus ketika dihubungi Astro AWANI berkata, situasi banjir di Taiping mula terkawal dengan rata-rata penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan kini dibenarkan balik.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir di seluruh negeri kini telah menurun kepada 178 di sekitar empat pusat pemindahan berbanding 284 pada petang Ahad.
“Sehingga hari ini, tiga pusat pemindahan yang ditutup adalah di daerah Taiping iaitu Masjid Nurul Hidayah Kampung Bemban dan surau Kampung Jawa pada jam 8 semalam (Ahad).
"Kami menjangkakan akan menutup lagi beberapa pusat pemindahan pada hari ini. Setakat ini, kami belum memberi kata putus 100 peratus untuk mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing.
"Namun, ada petanda positif cuaca hari ini cerah, dan pusat pemindahan akan ditutup,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Buat masa ini, Faizulhalimi berkata, Sekolah Kebangsaan Temerlok, Trong dekat sini menempatkan seramai 12 keluarga melibatkan 28 mangsa banjir secara keseluruhannya.
Sementara itu, seramai 26 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar mulai petang Ahad telah dibenarkan balik pagi ini dan pusat pemindahan tersebut telah ditutup.
Selain itu, beliau berkata, dua lagi daerah terjejas adalah di Manjung, di mana 48 mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis, sehingga pagi Isnin.
“66 mangsa turut dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan melibatkan 16 keluarga. Jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat lokasi ini berjumlah 178 mangsa membabitkan 48 keluarga.
"Kami akan pantau keadaan terkini dan hanya membenarkan mereka balik sekiranya paras air selamat dan keadaan terkawal,” ujarnya lagi.