Keadaan Ainul Mardhiah semakin baik, tidak lagi kritikal
Madiha Abdullah
Ogos 3, 2022 23:11 MYT
Ogos 3, 2022 23:11 MYT
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan bekas penghidap ketumbuhan dalam mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang dirawat di hospital akibat jangkitan kuman, semakin baik hari ini.
Dalam kemas kini terbaharu di Facebook, bapa Ainul, Ahmad Safiuddin, memaklumkan anaknya tidak lagi kritikal namun masih direhatkan serta memerlukan sokongan ventilator di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
"Keseluruhannya, Ainul lebih baik dari semalam. Dia masih kuat melawan.
"Terima kasih buat para doktor yang merawat Ainul kerana berjaya selamatkan Ainul dari zon kritikal. Terima kasih kakak-kakak misi yang menjaga Ainul dengan penuh kasih sayang.
"Terima kasih semua rakyat Malaysia yang ambil berat tentang Ainul dan sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.
"Tiada daya saya dan ahli keluarga untuk membalas jasa baik rakyat Malaysia yang berbuat baik kepada kami," tulisnya.
Ainul terpaksa ditidurkan selepas dimasukkan ke hospital susulan virus yang sudah merebak.
Sebelum ini, Ainul mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada 2019.