Keadaan Adib makin baik - IJN

Irwan Muhammad Zain
Disember 5, 2018 15:23 MYT
Muhammad Adib bersama doktor, petugas hospital dan ibu bapanya di Institut Jantung Negara hari ini. - Foto IJN
Keadaan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini memberikan reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru, kata Jabatan Komunikasi Korporat Institut Jantung Negara (IJN).
Jantung Muhammad Adib juga kini sudah mampu berfungsi dengan sendiri tanpa sokongan mesin bantuan.
“Jantungnya kini berfungsi dengan sendiri tanpa mesin bantuan.
“Paru-paru kiri mangsa menunjukkan tanda pemulihan awal. Dia tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis di bahagian buah pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.
“Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru. Dia juga didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi IJN,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berkata Muhammad Adib dikatakan sudah mampu mengangkat jari tanda baik (thumb up).
Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yakin Muhammad Adib dapat melangsungkan perkahwinannya pada hujung bulan ini berikutan perkembangan positif tahap kesihatan mangsa dari semasa ke semasa.
Zuraida berkata, pihaknya percaya Muhammad Adib akan kembali bertenaga seperti anak muda berusia 24 tahun selepas melalui proses perubatan secara berterusan dikendali doktor berpengalaman.
Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang parah dipukul ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini.
#bomba #ECMO #IJN #kuil sri maha mariamman #Muhammad Adib Mohd Kassim #Najib Razak #Rosmah Mansor #rusuhan
;