Ke mana tujunya kompas Dewan Rakyat nanti? 'Dialog Tiga Penjuru', jam 8.30 malam ini

Israr Khalid
Julai 22, 2021 18:21 MYT
Bagaimana nanti supaya ia menjadi medan membina solusi permasalahan negara dan bukannya kembali berebut kuasa? - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Akhirnya selepas sekian lama menanti, setelah lebih tujuh bulan berlalu, Parlimen akan dibuka semula.
Namun ia tidak seperti dahulu. Buat sementara waktu dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, sidang Dewan Rakyat hanya membenarkan kehadiran 80 orang Ahli Parlimen sahaja (44 dari pihak kerajaan dan 36 dari pihak pembangkang), empat jam sehari, lima hari seminggu.
Apa pun ketetapannya, rakyat hanya mahukan sidang kali ini melihat semula peruntukan undang-undang negara, memindanya atau menggubal undang-undang baharu berdasarkan keperluan semasa yang mendesak.
Pokoknya, rakyat yang semakin ditekan keadaan mahu sidang Parlimen dibuka segera supaya jalan penyelesaian kepada permasalahan negara yang diparahkan oleh badai COVID-19 ini dapat ditemukan.
Persoalannya, selepas segala bencana yang menimpa kita hari ini, mungkinkah para politikus akan berubah dan dapat berganding bahu atas nama perjuangan menuju Malaysia yang lebih sejahtera?
Dapatkah mereka yang diamanatkan rakyat sebagai wakil di Dewan yang mulia itu fokus dengan misi utama yang sepatutnya dan tidak menjadikan kesempatan itu sebagai medan untuk mengatur langkah politik masing-masing?
Lebih setengah tahun tidak bersidang, pastinya pelbagai perkara telah tertunda ditambah dengan perkara baharu yang timbul mahu diutarakan semasa bersidang nanti. Cukupkah lima hari seminggu?
Mungkinkah keterbatasan waktu dan jumlah ahli yang bersidang ini sebenarnya bukan masalah sekiranya hal-hal penting sahaja dibicarakan, atau ianya akan menjadi satu lagi alasan picisan daripada mereka yang hanya peduli tentang kedudukan masing-masing?
Paling utama, dapatkah sidang Parlimen akan datang ini memberi cerminan kepada Malaysia yang baharu, yang lebih matang dan objektif?
Pelbagai persoalan ini akan disentuh oleh tiga panel Dialog Tiga Penjuru kali ini menampilkan Ahli Parlimen Sungai Petani merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Johari Abdul; ADUN Seberang Jaya merangkap Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin; dan aktivitis serta pemerhati politik negara, Hishamuddin Rais.
Malam ini jam 8.30, hanya di (Saluran 501), Live TV (astroawani.com) dan platform media sosial Astro AWANI.
#Dialog Tiga Penjuru #Parlimen #Dewan Rakyat #COVID-19 #Johari Abdul #Dr Afif Bahardin #hishammuddin rais
;