KDNK sebenar dijangka meningkat 5-6 peratus dalam RMK11
Bernama
Mei 21, 2015 12:44 MYT
Mei 21, 2015 12:44 MYT
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar dijangka berkembang antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi tempoh 2016-2020 yang akan diterajui peningkatan yang kukuh dalam penggunaan dan pelaburan swasta.
Pertumbuhan itu akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita sebanyak 7.9 peratus setahun.
Menurut Dokumen RMK11 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, dalam tempoh RMK11, pertumbuhan ekonomi akan diterajui oleh peningkatan kukuh dalam penggunaan dan pelaburan swasta.
"Asas ekonomi makro akan terus diperkukuh untuk meningkatkan daya tahan ekonomi melalui asas ekonomi yang lebih pelbagai, simpanan dalam negeri yang lebih tinggi, kedudukan fiskal yang seimbang, inflasi yang rendah, guna tenaga penuh dan sistem kewangan yang kukuh," kata laporan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Dewan Rakyat, hari ini.
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) pula dijangka meningkat sebanyak 1.7 peratus setahun daripada 1.2 peratus seperti yang dicatatkan dalam tempoh RMK10, menunjukkan peningkatan dalam kesejahteraan rakyat.
Menurut dokumen itu, penggunaan swasta sebenar akan meningkat pada kadar purata 6.4 peratus setahun yang akan disokong oleh peningkatan pendapatan isi rumah berikutan keadaan pasaran buruh yang stabil, pertambahan guna tenaga dalam pekerjaan bergaji tinggi, peningkatan harga komoditi dan pemberian bantuan langsung oleh kerajaan kepada kumpulan yang disasarkan.
Penggunaan awam pula dijangka berkembang pada kadar sederhana iaitu 3.7 peratus setahun dan ia selaras dengan langkah perbelanjaan berhemat serta komitmen untuk mencapai bajet berimbang menjelang 2020 tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Pelaburan swasta sebenar dijangka berkembang pada kadar 9.4 peratus setahun dengan anggaran purata pelaburan sebanyak RM291 bilion setahun pada harga semasa.
Bagi pelaburan awam, ia dijangka berkembang pada kadar 2.7 peratus setahun iaitu sebanyak RM131 bilion setahun pada harga semasa yang akan dipacu oleh perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan modal perusahaan awam bukan kewangan (PABK).