KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga tahun 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun yang sama.

Ia disokong oleh peningkatan permintaan dalam negeri, pasaran buruh yang terus bertambah baik, serta aktiviti pelancongan dan pembinaan yang semakin rancak.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi bulanan pula meningkat sebanyak 4.2 peratus pada Julai, menyederhana kepada 3.2 peratus pada Ogos dan 2.5 peratus pada September 2023.

Tambahnya, prestasi keseluruhan dipacu sektor perkhidmatan dan pembinaan, manakala sektor pertanian menunjukkan pemulihan selepas penurunan pada suku tahun sebelumnya, sementara perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.

“Dari segi prestasi sektoral, sektor Perkhidmatan meningkat 5.0 peratus (ST2 2023: 4.7%) pada suku tahun ketiga 2023. Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh subsektor Perdagangan borong & runcit (5.4%), Pengangkutan & penyimpanan (12.8%) dan Perkhidmatan perniagaan (8.6%).

“Selain itu, beberapa subsektor utama iaitu Kewangan dan Insurans menunjukkan penyusutan lebih kecil, masing-masing 0.3 peratus (ST2 2023: -1.9%) dan 2.4 peratus (ST2 2023: -13.4%). Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor Perkhidmatan meningkat 2.1 peratus (ST2 2023: 2.7%),” katanya lagi.

Mohd Uzir berkata demikian sewaktu membentangkan Prestasi Ekonomi Malaysia bagi Suku Tahun Ketiga, pada sidang media bersama Gabenor Bank Negara Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour hari ini.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga tahun 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun yang sama.


Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku ketiga tahun 2023, berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun yang sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah, yang menyumbang 62.1 peratus kepada KDNK, meningkat 4.6 peratus (ST2 2023: 4.3%), disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi dalam Pengangkutan (11.0%), Makanan & minuman bukan alkohol (4.9%) dan Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (5.9%).

Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, beliau berkata, prestasi keseluruhan mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus (ST2 2023: 5.9%).

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) atau pelaburan ke atas aset tetap berkembang 5.1 peratus (ST2 2023: 5.5%) pada suku tahun ini.

Prestasi PMTK disumbangkan oleh Struktur (6.9%) dan Jentera & peralatan (4.0%) serta Aset lain (0.6%).

Selain itu, PMTK mengikut sektor mencatatkan peningkatan di kedua-dua sektor awam dan swasta pada suku tahun ini, manakala bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, PMTK mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus (ST2 2023: 4.7%).

Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 5.8 peratus (ST2 2023: 3.8%), disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi ke atas bekalan dan perkhidmatan, manakala bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, ia dijangka meningkat 4.6 peratus (ST2 2023: 4.0%) pada suku tahun ini.

Mohd Uzir juga berkata, selari dengan prestasi di beberapa negara dagangan, kedua-dua Eksport dan Import masing-masing menyusut sebanyak 12.0 peratus (ST2 2023: -9.4%) dan 11.1 peratus (ST2 2023: -9.7%), berikutan permintaan global yang lemah terhadap eksport dan import barangan.

Sehubungan itu, tambahnya, eksport bersih terus merosot sebanyak 22.7 peratus berbanding penurunan 3.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.