KDNK Malaysia 2022 berkembang 8.7 peratus - BNM

Harits Asyraf Hasnan
Februari 10, 2023 12:00 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan ini masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang iaitu 5.1 peratus.
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, lapor Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.
Ia selepas ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan pada suku keempat tahun 2022 iaitu 7.0 peratus, berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan ini masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang iaitu 5.1 peratus.
"Aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.
"Penggunaan swasta yang terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik," memetik kenyataan tersebut.
Bank pusat itu turut menambah, pertumbuhan eksport keseluruhan menjadi sederhana sejajar dengan permintaan luaran yang semakin lemah.
Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta aktiviti pelancongan yang lebih giat.
"Sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan.
"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus," kata bank pusat itu.
#Bank Negara Malaysia #KDNK #Malaysia #pelaburan
;