KDNK 8.9 peratus, pengangguran 3.8 peratus bukti dakwaan ekonomi Malaysia tenat adalah tersasar
Astro Awani
Ogos 12, 2022 15:04 MYT
Ogos 12, 2022 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang meningkat dan kadar pengangguran menurun seperti diumumkan pada Jumaat menunjukkan dakwaan ekonomi Malaysia dalam keadaan tenat adalah tersasar.
Pengarah Ekonomi Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata, cabaran sekarang adalah bagaimana cara terbaik untuk mengurus inflasi dan memastikan tahap pendapatan rakyat meningkat dengan saksama.
Tambah beliau, prestasi baik ekonomi negara membolehkan Malaysia mengharungi persekitaran ekonomi semasa khususnya berkenaan inflasi dan ‘underemployment’ supaya kualiti pekerjaan dan tahap pendapatan dipertingkatkan.
“Ini mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi sedunia menghadapi risiko antara lain disebabkan konflik ketenteraan Ukraine, gangguan rantaian bekalan yang berlanjutan, dan dasar monetari agresif oleh pelbagai bank pusat seluruh dunia.
“Saya yakin kerajaan akan terus mengambil langkah berhemat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan kesannya dapat dirasai dengan lebih saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, ketegasan untuk membuka sektor ekonomi dan sokongan dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada pemulihan pasaran pekerjaan turut menyumbang kepada angka KDNK 8.9 peratus yang diumumkan.
“Sepertimana pengumuman Jabatan Perangkaan pada 9 Ogos lalu, pengangguran kini jatuh ke 3.8 peratus menghampiri paras pra-pandemik.
“Semenjak pembentangan Bajet 2022 iaitu sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja mengambil alih pentadbiran negara, jumlah rakyat yang bekerja meningkat hampir 400,000 kepada 15.94 juta.
“Hasilnya, perbelanjaan isi rumah mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dan nilai keluaran sektor utama seperti sektor pembuatan turut melonjak dengan ketara. Ini belum lagi menyentuh soal angka pelaburan dan perdagangan yang juga sihat,” ujarnya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding suku pertama 5.0 peratus.
Ini menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini adalah 6.9 peratus, menurut kenyataan Bank Negara Malaysia.