KDN warta perintah larangan terhadap 18 penerbitan

Bernama
Ogos 21, 2017 18:28 MYT
ALWI: Perintah larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan P.U (A) 206-208 dan P.U (A) 210-220 bertarikh 27 Julai 2017.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap 18 penerbitan kerana ada kandungannya yang mungkin memudaratkan keselamatan, ketenteraman, moral dan kepentingan awam serta menggemparkan fikiran orang ramai.
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata perintah larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan P.U (A) 206-208 dan P.U (A) 210-220 bertarikh 27 Julai 2017.
Beliau berkata warta perintah larangan berkenaan adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
"Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," katanya.
Antara penerbitan itu adalah 'Fatimah Az-Zahara Wanita Solehah Sinaran Zaman' kerana mengandungi unsur-unsur ajaran syiah manakala penerbitan 'Misteri Merong Maha Wangsa dan Penyebaran Islam di Timur (Part 1) Kisah Khalifah Sharif Yang Di-Pertuan Kedah dan Legasinya' didapati mengandungi fakta sejarah yang mengelirukan pembaca dan menyeleweng daripada fakta sebenar negeri Kedah.
Penerbitan lain adalah bertajuk 'Humanisme Islam: Kajian terhadap Pemikiran Filosofis Muhammad Arkoun' dan 'Breaking The Silence: Voices of Moderation, Islam in a Constitutional Democracy' kerana mengandungi unsur mempromosikan ideologi prinsip pemikiran liberalisme dan pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sebelas penerbitan pula didapati mengandungi terjemahan dan fakta yang salah serta bertentangan dengan ajaran Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Penerbitan itu ialah 'Kisah Para Nabi', 'Kasyaf Al-Haq (Mengenal Allah)', 'Kisah-kisah Ghaib Dalam Hadis Sahih', 'Agama Allah Rahmat dan Penyelamat Bagi Seluruh Alam', 'At-Thariq Ilallah Thariqat Al-Hassaniyyah', 'Berdialog Dengan Jin Islam', 'Piramid: Rahsia Purba Yang Dapat Anda Manfaatkan', 'Menyingkap Misteri Pulau Besar', 'Bid'ah Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Di Dalam Buku ini Terjawab Berbagai Persoalan Bid'ah) Jilid 1', 'Aina Allah? Mana Allah' dan 'Menanti Buah Hati dan Hadiah Untuk Yang Dinanti'.
"Penerbitan-penerbitan berkenaan dilihat boleh mengelirukan orang ramai dan dikategorikan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya," kata Alwi.
Penerbitan lain iaitu '28 Hari: Jurnal Rock N Roll + Anarki Di Kuala Lumpur', 'Habibi' dan 'Drive Me Wild' pula didapati mengandungi unsur seks, menggalakkan kebebasan sosial serta memuatkan ilustrasi lucah yang keterlaluan, katanya.
"Secara keseluruhannya, kesemua penerbitan itu dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda yang mana ianya tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum," katanya.
Sehubungan itu, Alwi berkata individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya penerbitan larangan itu dianggap telah melakukan kesalahan.
"Mereka boleh disabitkan dengan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 8(2) Akta 301," katanya.
Jelasnya orang ramai yang mendapati penerbitan itu masih ada di pasaran boleh membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di http://moha.spab.gov.my
-- BERNAMA
#Alwi Ibrahim #haram #kandungan #KDN #penerbitan #perintah larangan
;