KDN tumpu selesai permohohan kewarganegaraan kategori anak angkat

Bernama
April 13, 2023 22:37 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata permohonan bagi kategori membabitkan anak angkat adalah tertinggi daripada jumlah keseluruhan status kewarganegaraan yang masih belum selesai melibatkan 133,436 permohonan. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi keutamaan terhadap permohonan status kewarganegaraan kategori anak angkat selain individu yang lahir sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata permohonan bagi kategori membabitkan anak angkat adalah tertinggi daripada jumlah keseluruhan status kewarganegaraan yang masih belum selesai melibatkan 133,436 permohonan.
"Misalnya tadi, apabila ditanya kepada penerima surat kelulusan kewarganegaraan, ada dalam kalangan ibu bapa telah menjaga anak angkat mereka sejak umur satu hari, tempoh permohonan ada yang 12 tahun dan sembilan tahun.
"Apabila kita keluarkan surat warganegara ini bermaksud akses kepada pendidikan, kesihatan mereka lebih baik. Bagi kategori yang lahir sebelum merdeka pula, mereka sudah mencecah usia 70 hingga 80 tahun, jumlahnya dalam 3,000 pemohon," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata setiap prosedur bagi meluluskan permohonan kewarganegaraan itu berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Jumlah yang masih belum selesai (bagi) kewarganegaraan 133,436 (permohonan) ... tiga bulan pertama KDN meluluskan 6,079 permohonan. Tahun ini saya tetapkan sasaran 10,000 permohonan.
"Kelulusan ini datang daripada pelbagai kategori ... apa pun kategorinya keutamaan adalah kepada anak angkat yang paling banyak dan mereka yang lahir sebelum kemerdekaan," katanya.
-- BERNAMA
#KDN #kewarganegaraan kategori anak angkat #Saifuddin Nasution Ismail #Kementerian Dalam Negeri
;