KDN tidak kompromi prinsip integriti dalam kalangan anggota, pegawai polis

Bernama
Julai 19, 2024 12:30 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan yang menyalahi prinsip integriti dalam kalangan anggota dan pegawai polis, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk perbuatan yang menyalahi prinsip integriti dalam kalangan anggota dan pegawai polis, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ringkasan AI
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti oleh anggota polis, menurut Menteri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • KDN menekankan kepatuhan undang-undang dan moral tinggi dalam kalangan penguat kuasa.
  • Saifuddin Nasution menyatakan proses tindakan undang-undang akan diambil jika berlaku pelanggaran integriti.

Beliau berkata KDN meletakkan kepatuhan terhadap undang-undang pada tahap maksimum dan anggota penguat kuasa seharusnya mempunyai moral tinggi apabila memilih bidang itu sebagai kerjaya.
"Dasar kita adalah tidak kompromi sama sekali terhadap sebarang bentuk perbuatan yang menyalahi prinsip integriti terutama (dalam) agensi penguatkuasaan terbesar ... tetapi kalau berlaku juga, biar proses (tindakan undang-undang) mengambil tempat," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.
Beliau mengulas isu integriti melibatkan anggota polis antaranya suspek pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah dan tiga polis yang ditahan berhubung kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selasa lepas.
"Selama saya menerajui kementerian ini, soal-soal integriti, pelanggaran terhadap undang-undang, perkara ini ialah keutamaan yang kita tekankan.
"Kalau berlaku perkara seperti itu, ruang seluas-luasnya kita berikan kepada pihak polis untuk membuat siasatan ... dan kalau semuanya terkumpul maklumat, mereka bebas untuk melakukan tindakan selanjutnya, membawa ke muka pengadilan dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Majlis Raja-Raja telah memberi perkenan terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang dibentangkan Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi.
Beliau berkata keputusan itu bermaksud proses seterusnya di peringkat Parlimen akan bermula pada persidangan akan datang iaitu sesi Belanjawan 2025.
"Maklum balas daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga telah diperoleh," katanya.
Pada 24 Mac lepas, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada 21 kepada 18 tahun.
-- BERNAMA
#KDN #tidak kompromi #prinsip integriti #polis #Saifuddin Nasution Ismail