KDN tidak keluarkan peraturan komunikasi baharu

Bernama
April 14, 2017 13:10 MYT
Mesej palsu yang sedang dikitar semula di media sosial tiada kaitan dan bukan dikeluarkan oleh KDN.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengeluarkan peraturan komunikasi baharu termasuk merakam semua panggilan telefon atau memantau media sosial orang ramai di negara ini, kata Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim hari ini.
Beliau menegaskan bahawa mesej palsu yang sedang dikitar semula di media sosial tiada kaitan dan bukan dikeluarkan oleh KDN.
"Orang ramai diminta agar lebih berhati-hati dengan penularan mesej-mesej palsu seperti ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mesej tular yang kononnya dikeluarkan KDN antara lain menyebut terdapat peraturan komunikasi baharu yang memastikan semua panggilan direkodkan, semua media sosial dan forum dipantau serta peranti akan disambungkan ke sistem kementerian itu.
-- BERNAMA
#KDN #komunikasi #media sosial #mesej palsu
;