KDN tiada hasrat ikut langkah AS berhubung dasar hantar pulang pendatang tanpa izin

Bernama
Mac 12, 2025 14:30 MYT
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat masa ini tidak bercadang mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) berhubung dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi menyelesaikan isu lambakan warga asing dalam negara.

Ringkasan AI
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang mengikut langkah Amerika Syarikat menghantar pulang pendatang tanpa izin, sebaliknya menambah baik kawalan dan penguatkuasaan peraturan imigresen.
  • Dari 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, Jabatan Imigresen telah melaksanakan lebih 2,679 operasi penguatkuasaan dan menahan 9,904 pendatang tanpa izin serta 348 majikan.
  • Sehingga 9 Mac, sebanyak 9,199 pendatang tanpa izin telah diusir keluar dari depoh imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ini kerana KDN sentiasa menambah baik prosedur kawalan dan penguatkuasaan peraturan imigresen untuk mengawal keberadaan pendatang tanpa izin.
"Antara usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan kementerian ini bersama-sama agensi di bawahnya, termasuk kawalan sebelum kemasukan ke dalam negara dan penggunaan teknologi dalam kawalan pintu masuk negara.
"Selain itu, kita juga melaksanakan kawalan keberadaan pendatang tanpa izin dalam negara selain melaksanakan operasi penguatkuasaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan yang ingin mengetahui adakah kementerian bercadang mengikut langkah AS dalam dasar menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal sebagai dasar baharu lebih keras bagi memastikan isu lambakan warga asing dalam negara dapat diselesaikan.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azhar Ahmad yang ingin mengetahui jumlah pendatang tanpa izin ditahan tahun ini dan jumlah telah diusir keluar ke negara asal, Shamsul Anuar berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, Jabatan Imigresen sudah melaksanakan lebih 2,679 operasi penguatkuasaan melibatkan tangkapan 9,904 pendatang tanpa izin.
"Tangkapan ini melibatkan warga asing dari pelbagai negara dan 348 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen.
"Bagi tempoh setakat 9 Mac tahun ini, jumlah pengusiran terkumpul dari depoh imigresen adalah 9,199 orang," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Dalam Negeri #pendatang tanpa izin #dasar Amerika Syarikat #Shamsul Anuar Nasarah #Dewan Negara #terkini
;