KDN teroka teknologi AI beri perkhidmatan terbaik pada rakyat - Saifuddin Nasution
Bernama
Januari 22, 2025 19:21 MYT
Januari 22, 2025 19:21 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi di bawahnya akan menerokai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam usahanya untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat dan meningkatkan integriti serta keselamatan negara, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata sebagai permulaan, KDN telah melaksanakan sistem pengecaman wajah menggunakan teknologi AI di pintu masuk sempadan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor bermula 1 Jan.
"Kami akan terjemahkan (AI) dalam banyak perkara, sebagai permulaan di pintu masuk negara dan kita akan umumkan bertahap dari semasa ke semasa.
"KDN dan seluruh agensinya akan embrace AI sebagai solusi dan hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap dan isu-isu integriti," katanya pada media selepas Majlis Penutupan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Kelebihan penggunaan teknologi AI menurut Saifuddin Nasution, ialah ia berkemampuan menyelesaikan isu keselamatan dan kawalan sempadan dengan lebih pantas, cekap dan efektif berdasarkan data di bawah setiap agensi dan jabatan di bawah KDN.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata AISSE 25 yang menutup tirainya hari ini, berjaya menarik kehadiran lebih 18,000 pelawat perdagangan dan pegawai kerajaan, serta 1,000 delegasi persidangan yang terbabit secara langsung dalam 36 bengkel.
Beliau berkata penganjuran AISSE25, satu kejayaan besar bukan sehaja kepada negara, malah kepada KDN khususnya Polis Diraja Malaysia.
"Mengambil kira bahawa ini program sulung dikendalikan KDN khususnya di bawah PDRM, AISSE25 adalah satu kejayaan yang membanggakan.
"Bukan sahaja pameran, bengkel perbincangan yang diadakan sepanjang tiga hari acara ini berlangsung, membincangkan pelbagai topik terutama segmen keselamatan antarabangsa serta daripada perspektif domestik. Ini satu kejayaan kepada kami," katanya.
Beliau berkata penganjuran AISSE selepas ini ialah pada 2027, dengan sasaran penyertaan yang lebih besar serta impak yang lebih signifikan.
Mengenai cadangan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya rangkaian 5G dimanfaatkan pihak berkuasa, Saifuddin Nasution berkata beliau menyambut baik cadangan tersebut.
"Saya telah mengadakan beberapa siri perbincangan awal dengan Menteri Fahmi. Saya gembira dia lontarkan juga untuk itu. Jadi buat masa ini saya hargai dan sambut baik gesaan supaya kita manfaatkan 5G," katanya.
-- BERNAMA